Friday, December 16, 2011

Ubat Hati - http://www.ustazamin.com/2008/10/motivasi-iman-2-ubat-hati.html

http://www.ustazamin.com/2008/10/motivasi-iman-2-ubat-hati.html

Sedar atau tidak ramai di antara kita tidak mempunyai ketenangan hati. Ini kerana mereka mencari ketenangan tidak pada sumbernya. Di anggapnya harta memberi ketenangan, maka diburunya harta, akhirnya harta itu jugalah yang merungsingkannya. Diburunya pangkat, disangka pangkat memberi ketenangan padanya, rupanya, dengan pangkat, lagi tidak tenang, lantaran takut pangkatnya hilang.

Inilah manusia. Allah menyatakan di dalam al-Quran bahawa Allahlah pemilik ketenangan dan Dia hanya memberikannya pada hati orang yang beriman. Mari kita renung, kesilapan mencari tenang dan bagaimanakah ubatnya.

1. Ramai orang mencari ketenangan dengan sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka melihat keaiban orang lain, tidak redha. tidak bersyukur dan sebagainya, tetapi hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada sifat mazmumah itu ketenangan. Ubat bagi hati seperti ini ialah dengan menanam dan menyuburkan sifat mahmudah

2. Ramai orang mencari ketenangan dengan melakukan maksiat seperti bergaul lelaki perempuan, mendengar muzik dan sebagainya. tetapi hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada maksiat itu mendatangkan ketenangan. Ubat bagi sikap seperti ini ialah dengan menggantikan setiap maksiat dengan ketaatan

3. Ramai orang mencari ketenangan dengan memperbanyakkan harta yang tidak tahu apakah sumbernya, hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada harta yang haram itu mencukupkan. Ubat bagi hati tamakkan harta sehingga terlibat dengan yang haram ialah dengan mencari dan berusaha kepada harta yang halal

4. Ramai orang merasa puas jika bersikap bongkak dengan manusia. Jika dia berpangkat, boleh tengking orang, boleh arah orang dengan kasar dan dia seolah-olah rasa puas sedangkan Allah tidak akan menjadikan pada kesombongan itu kemuliaan. Ubat bagi penyakit ini ialah melatih hati supaya sentiasa tawadhuk.

5. Ramai orang lalai melayan perasaan sedihnya sedangkan Allah tidak menjadikan pada putus asa itu jalan keluar. Ubat bagi penyaki ini ialah kesabaran

6. Ramai orang yang cuba mencari kepuasan dengan dunia, dicubanya berbagai aktiviti supaya hatinya puas sedangkan Allah tidak menjadikan pada cinta dunia itu kepuasan, ubat bagi hati yang demikian ialah memperkukuhkan hati mencintai Allah. Dua cinta tidak akan duduk di dalam satu hati. Jika seorang telah mencintai dunia, maka cinta Allah payah ingin dirasakan.

7. Ramai orang yang merasa puas jika dia marah-marah sedangkan Allah tidak menjadikan pada marah itu hikmah. Ubat bagi hati dan lidah yang marah ialah menanamkan cinta akhirat. Dengan demikian, rasa tidak puas hati pada dunia akan kurang.

Demikianlah beberapa keadaan hati dan ubatnya, semoga memberi manfaat kepada kita semua, amin...

Wednesday, December 14, 2011

Jom Naikkan trafik Blog!


- Blog Jurugambar majlis Perkahwinan + Majlis Rasmi + Dll..
- Layan blog2 lain yang berunsurkan keagamaan dan motivasi..
- Bagi sesapa yang nak melangsungkan majlis perkahwinan & masih belum ada jurugambar.. boleh la melihat hasil kerja saya di sini. Sekiranya berminat, boleh call @ komen di sini utk deal.. hihihi..

Monday, December 5, 2011

“ 10 Sebab Isteri Derhaka..” Bicara Ilmu 41 – IKIM - copy dari blog Ustaz Muhammad a.k.a Ustaz Amin

Entry ini di copy dari laman web Ustaz Muhammad di - http://www.ustazamin.com/2011/12/bicara-ilmu-41-ikim-10-sebab-isteri.html

* Sekadar untuk berkongsi & menambah ilmu rumahtangga...

Apabila sebut mengenai isteri derhaka, tidak semua sebab terjadi demikian dari isteri. Tetapi ramai yang terus menyalahkan isteri dengan kesalahan 100% peratus diletakkan padanya.

Isnin 21 November dan 28 November 2011 jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi. Saya bersama DJ Fairuz membincangkan mengenai tajuk ini di dalam segmen SURI.

Ingin saya kongsikan secara ringkas mengenai isi perbincangan pada kesempatan ini.

10 Sebab isteri derhaka:-

1. Tidak berusaha untuk iman. Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa hatta ada isteri para Nabi juga ada yang tidak berusaha ke arah iman dan akhirnya menjadi derhaka bukan sahaja pada suaminya, bahkan pada Allah.

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat [1488] kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)". [1488] Maksudnya: nabi-nabi sekalipun tidak dapat membela isteri-isterinya atas azab Allah apabila mereka menentang agama (Surah at-Tahrim ayat 10)



2. Jahil.

Ada isteri yang derhaka kerana tidak tahu sifat dan sikapnya itu adalah menderhaka pada suaminya.

3. Keras Hati

Ada jenis yang memang keras hati dan tidak mahu mentaati suami dan perintah Allah.

4.Takabbur

Kebanyakkan perkara keempat ini berlaku jika isteri lebih berkedudukan dari suami. Dia mudah memandang rendah suaminya.

Di celah-celah perbahasan ini, kami mengambil soalan dari pendengar.

Haji Hayyi dari Kelantan

Bagaimana ingin menjadikan anak-anak sekarang ada perasaan respect pada mak ayah

Haji Yaakub

Macam mana nak wujudkan rasa hormat menghormati jika isteri suka buat sesuatu tak bagitau suami?

Suami selalu makan hati.

Puan Aida Amir

Saya lebih ela bangun qaimullail dari melayan suami, macam mana ustaz?



Perbahasan kami di sambung lagi…



5. Tiada Sifat Qanaah, akhirnya wujud membanding

6. Kurang tarbiah. Tidak semestinya orang kelulusan agama, dia mampu nak amalkan. Untuk mengamalkan sesuatu perlukan tarbiah.

7. Wujud penasihat-penasihat yang jahat

8. Suami yang jahil

Ada isteri yang derhaka kerana suami yang jahil, bukan sahaja tidak dapat mendidik isteri malahan menggalakkan isteri berbuat maksiat

9.Suami yang dayyus

Ada suami yang terlalu takut pada isteri hingga isteri berbuat maksiat takut untuk ditegurnya.

10. Suami yang zalim

kadang kala, suami yang menzalimi isteri menjadikan isteri melawan kembali suami.

Inilah 10 sebab kenapa isteri derhaka.

“Ilmu Pelita Hidup”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

7 Muharram 1433/ 3 Disember 2011 jam 10.30 malam

Friday, November 25, 2011

Berjiwa Sufi Membendung Perpecahan ( Bahagian 3 )

Berjiwa Sufi Membendung Perpecahan (Bahagian 3)

7. Hubungan Maknawiyah
Pertautan hati atau roh sangat penting dalam memelihara perpaduan dan kasih sayang.Atas sebab inginkan keselamatan diri dan keselamatan orang lain maka orang berjiwa sufi seringkali saling mendoakan orang lain. Seringkali mengharapkan orang lain itu diampuni oleh Allah SWT dan ditinggikan darjat. Malah salafussoleh tidak pernah berdoa untuk dirinya sendiri. Mereka berpegang kepada maksud hadis Qudsi, "Barangsiapa mendoakan saudaranya Allah SWT kabulkan doa itu untuk dirinya dan saudaranya sebelum dia mengangkat tangan untuk berdoa."

Berdoa untuk diri sendiri belum tentu dikabulkan. Salah satu doa yang sangat makbul ialah mendoakan kepada orang lain. Kalau kita mempunyai sesuatu hajat maka panjatkan doa kita itu kepada Allah SWT bukan untuk diri tetapi tujukan kepada orang lain.Saling menghadiahkan doa ini akan bertambah menambat hati antara sesama umat Islam. Sayidina Umar Al Khattab sangat-sangat bersyukur, berterima kasih dan menghargai rakyatnya yang menghadiahkan doa untuk dirinya dan beliau pula membalas dengan berdoa pula kepada rakyat beliau.

8. Saling menasihati.
Kemuncak keangkuhan Firaun ialah apabila mengaku dirinya Tuhan. Allah SWT memerintahkan Nabi Musa a.s. untuk memberi peringatan kepada Firaun. Allah SWT juga ingatkan kepada Nabi Musa a.s. agar bercakap kepada Firaun dengan lunak dan lembut kerana itu akan lebih mendatangkan keinsafan. Biarpun akhirnya Firaun tetap mati dalam kekufuran. Begitu pun Nabi Musa a.s seorang utusan Allah SWT, berlunak dan berlembut kepada Firaun itu bertujuan untuk Nabi Musa tidak merasai lebih baik berbanding Firaun. Sedangkan hakikatnya tentulah tidak boleh dibandingkan ketinggian darjat seorang Rasul seperti Nabi Musa a.s. Namun dalam memberi peringatan itu saja yang perlu dihindari merasai lebih baik.

Berkata keras, kasar, marah, mencerca, memaki hamun itu adalah simbol keangkuhan, ego dan sombong. Malah keras dan kasar itu menggambarkan seolah-olah terlebih dahulu menjatuhkan hukuman bersalah kepada orang lain. Sayidina Ali juga pernah menegur seseorang yang berpidato keras dan kasar seolah-olah orang itu lebih cenderung kepada menonjol diri.

Fitrah manusia adalah sama. Kalau kita sendiri tidak dapat menerima sekiranya orang lain berbahasa kesat dan mencerca, begitu juga orang lain yang turut berperasaan macam kita. Manusia ada perasaan yang mudah terguris dan tersinggung. Adakalanya mereka bukan tidak mahu menerima kebenaran tetapi terhalang oleh terguris dan tersinggung perasaannya. Manusia juga ada akal fikiran yang mampu menilai kebaikan dan keburukan. Makanan yang lazat andainya dilempar secara kasar pun boleh mematahkan selera. Kebenaran dan kebaikan perlu dihidangkan dengan cara yang sebaik mungkin dan mereka akan lebih cepat menerimanya.

9. Membaiki Diri.
Orang yang berjiwa sufi sangat kuat berusaha membaiki diri, menghilangkan segala sifat mazmumah dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Apabila semua umat Islam sama-sama membaiki diri dan dilakukan berterusan tentulah sama-sama mahukan kebaikan dan kedudukan di sisi Allah SWT. Membaiki diri untuk mencari darjat yang lebih baik di sisi Allah SWT itu akan secara otomatik memperelokkan hubungan dan ikatan sesama manusia.

Ini yang disabdakan oleh Rasulullah SAW maksudnya "Barangsiapa membaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya (hati/roh) maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terangterangan)." (Riwayat Al Hakim)

10. Syukur, sabar dan redha.
Orang yang berjiwa sufi hidupnya senang dan tenang. Tidak cerewet dan tidak ada karenah. Bukan beret tiada masalah tetapi apa situasi dan kondisi tidak mengocakkan hatinya.

Nikmat yang diterima disyukurinya, nikmat yang tidak pernah putus itu turut dibimbangi kalau-kalau dirinya tidak cukup bersyukur. Kesulitan dan kesusahan yang datang sekali-sekala dihadapi dengan sabar. Sabar itu ertinya daya tahan atau keupayaan menghadapi sesuatu kesulitan. Cuba bayangkan bahawa tidak ada satu detik dari kehidupan ini melainkan tersalurnya nikmat anugerah Allah SWT. Dan bandingkan pula dengan kesusahan atau kesulitan yang datang sekali sekala. Datangnya pula tidak selama-lamanya. Kebiasaannya hanya sementara. Tidak ada orang yang sakit sahaja sepanjang hidup. Tidak ada orang yang hidup melarat buat selama-lamanya.

Setidak-tidaknya ada kedapatan satu kesusahan yang berpanjang ada pula nikmat di sebalik kesusahan tersebut. Atau banyak hikmah di sebaliknya, paling kurang untuk penghapusan dosa atau meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Tentulah kita berupaya menahan atau menghadapi kesusahan itu untuk sementara waktu.

Tidak bergerak dan diam sesuatu itu melainkan dengan kehendak dan izin Allah SWT. Menyedari hakikat inilah maka sesuatu musibah itu Allah SWT datangkan kepada manusia. Samada musibah sendiri atau musibah bersama yang ditanggung oleh umat Islam. Redhalah kepada Allah SWT yang mendatangkan musibah dan ingat bahawa itu adalah berpunca dari perbuatan dosa. Selain itu, ianya merupakan "panggilan" dari Allah SWT agar berpaling lebih mendekatkan diri atau menghampirkan diri kepada Allah SWT. Jangan lalai dan leka. Maka "panggilan" Allah SWT itu hendaklah disahut segera sebelum datangnya bala atau malapetaka sebagai murka Allah SWT.

Tidak ada sesuatu apa pun yang Allah SWT datangkan kepada orang berjiwa sufi melainkan ianya mendatangkan kebaikan. Memperolehi nikmat disyukurinya maka Allah SWT beri pahala. Sabar atas kesusahan, juga Allah SWT beri pahala dan redha dengan ketentuan Allah SWT itu juga diberi pahala. Andainya inilah pegangan dan sikap umat Islam nescaya hidup dalam aman sejahtera tanpa ketakutan, tanpa krisis dan tanpa permusuhan.


* kredit untuk http://cahayamukmin.blogspot.com/

Berjiwa Sufi membendung Perpecahan ( Bahagian 2 )

Berjiwa Sufi Membendung Perpecahan (Bahagian 2)

2. Mengenang Nasib Di Akhirat
"Dunia ini adalah tanaman akhirat".
Ertinya segala amalan, pekerjaan, perlakuan dan gerak geri sepanjang hidup ini hanyalah disifatkan sebagai menanam sahaja. Akhirat merupakan tempat memungut hasil. Apa yang bakal dikutip di akhirat nanti samada pahala atau dosa, samada syurga atau neraka, bergantung kepada apa dan bagaimana kita menanam. Orang yang berjiwa sufi sentiasa takut dan bimbang. Takut dan bimbang tentang nasibnya di akhirat kelak. Takut dan cemas di saat berhadapan Qadhi Rabbul Jalil yang akan menyelongkar setiap apa yang dilakukan sepanjang hidup. Satu apa pun tidak akan tercicir, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi hatta gerak dan lintasan hati sekalipun. Maka perlumbaan di dunia ini, apa yang diburu ketika hidup, kerakusannya ialah terhadap menimba amal sebanyak-banyak dan menolak segala perbuatan mungkar dan keji. Begitupun banyak amalan dan menolak kejahatan, nasib di sisi Allah SWT di akhirat nanti belum tahu. lanya sangat bergantung kepada rahmat Allah SWT. Hanya rahmat Allah SWT itu hampir kepada orang yang beramal.

Apa saja nikmat yang bersifat duniawi tidak lebih hanya sekadar umpama peralatan dalam menanam padi. Alat-alat yang membantu dan memudahkan kerja-kerja menanam padi. Lebih lengkap dan sempurna segala peralatan maka lebih mudah kerja-kerja menanam dan berpeluang mendapat hasil yang lumayan. Itu pun bukan satu jaminan kerana kadang-kadang dirosakkan oleh berbagai-bagai musuh seperti burung dan ulat. Tanpa, disangka-sangka yang menanam dengan peralatan tradisi berjaya mengutip hasil yang banyak kerana dikawal sungguh dari musuh dan penyakit padi.

3. Rasa Berdosa.
Imam As Shafie menghitung dosanya sebanyak biji pasir di Padang Sahara dan dirinyalah orang yang paling banyak dosa. Seorang ahli sufi mengira jumlah dosanya hitung panjang sepuluh dosa setiap hari. Dia hidup selama enam puluh lima tahun. Dikira dosanya bermula pada usia lima belas tahun. Maka jumlah dosanya ialah 10 x 365 x 50 = 182,500. Satu hari di akhirat sama panjangnya dengan seribu tahun mengikut ukuran dunia. Andainya setiap satu dosa itu Allah SWT hukum sehari masuk neraka, maka 182,500 dosa itu di darab dengan seribu lantas ahli sufi itu menjerit, jatuh pengsan dan terus mati.

Alangkah indahnya hidup bermasyarakat apabila setiap orang lebih memikirkan dosa dan kesalahan sendiri. Rasa berdosa itu tidak memberi kesempatan dan tidak ada ruang untuk dirinya memikirkan kejahatan dan cacat cela orang lain. Jauh sekali hendak menyakiti, menindas dan menzalimi orang lain. Malah diganti dengan penuh kasih sayang dan cinta mencintai.

4. Mengutamakan orang lain.
Sekumpulan tentera Islam yang cedera parah dari satu peperangan sedang berbaring untuk menerima layanan dan rawatan. Salah seorang merintih kehausan. Pelayan membawa segelas air. Sebalik saja gelas hampir mencecah mulutnya kedengaran pula seorang lain yang juga merintih kehausan. Ditolaknya gelas tersebut sebagai isyarat untuk diberi kepada orang itu. Begitu juga yang berlaku, ada suara mahukan air lalu ditolaknya untuk diberi kepada orang itu pula. Perkara yang serupa juga terjadi kerana adanya suara kehausan daripada tentera yang baru tiba. Ditolaknya air itu untuk orang baru itu. Tetapi yang baru tiba itu telah meninggal dunia sebelum sempat meneguk air. Lalu pelayan kembali membawa kepada yang pertama, pun telah mati, yang kedua pun menghembuskan nafas terakhir,yang ketiga pun telah meninggal dunia. Segelas air itu tidak sedikit pun membasahi tekak mereka.

Begitulah secebis kisah betapa para sahabat yang berjiwa luhur, di saat nyawa hampir melayang pun masih sempat berbakti dan mengutamakan orang lain. Mereka tidak langsung adanya kepentingan diri. Bukan keselesaan hidup yang tergugat, bukan kesenangan hidup yang tergugat, bukan harta benda yang tergugat, malah di saat nyawa tergugat spun masih meletakkan orang lain lebih utama dan berharga. Orang lain lebih layak diberi peluang untuk menyambung hid up.

5. Menutup aib saudaranya.
Memiliki jiwa sufi bukan sahaja tidak mengorek-ngorek, tidak mengintai dan mengintip, tidak rnencari-cari kesalahan saudaranya, malah kesalahan yang terlanjur pun diusahakan untuk menutupinya. Ini bukan bererti' bersubahat dan menyetujui perbuatan jahat saudaranya itu tetapi tidak dijaja, tidak disebar dan tidak diberitahu kepada orang lain, kecuali kalau terpaksa dengan maksud untuk membaikinya, maka diadukan kepada orang tertentu umpamanya kadhi atau pemimpin.

Kalaupun terpaksa didedahkan, itu pun menurut yang diharuskan oleh syariat seperti untuk pendakwaan atau penghakiman yang sangat terbatas kepada orang-orang tertentu. Bukannya tersebar hingga orang buta dan orang pekak pun turut tahu. Anak-anak kecil yang belum mukallaf pun sudah mengenal kemungkaran orang lain. Kesalahan orang lain yang dipandang berat itu pun andainya berlaku berulang kali dan sangat memberi kesan buruk kepada kepentingan masyarakat. Kesalahan yang sekadar sekali mungkin terlanjur tidak boleh lawan nafsu maka diharapkan yang empunya diri akan sedar dan insaf sendiri dan membaiki kesalahan tersebut tanpa melibatkan orang lain.

6. Pemaaf.
Berjiwa sufi ertinya sangat pemaaf. Dan pemaaf itu salah satu sifat keTuhanan yang wajar menjadi pakaian manusia. Allah SWT itu rahmat dan keampunannya sangat luas. Anggaplah orang yang bersalah itu hanya sekali saja sebaliknya diri kita yang berbuat salah berkali-kali. Hanya mungkin kita berbuat salah tidak kepada orang yang sama.

Umpamanya ada orang meminta maaf kerana mengumpat diri kita. Mungkin itu sekali sahaja. Maka wajarlah segera memberi maaf kerana kita mungkin telah banyak kali mengumpat orang lain cuma bukan ditujukan kepada orang yang sama. Malah bagi para salafussoleh yang jiwa sufinya menebal mereka memaafkan siapa sahaja samada diketahui, dikenali atau tidak, samada meminta maaf atau tidak agar orang lain diampuni oleh Allah SWT. Pihak yang bersalah pula perlulah segera memohon maaf kerana mati tidak mengira masa dan tempat.


* Kredit utk http://cahayamukmin.blogspot.com/

Berjiwa Sufi Membendung Perpecahan ( Bahagian 1 )

Berjiwa Sufi Membendung Perpecahan (Bahagian 1)
Berjiwa sufi merupakan salah satu faktor penting untuk membendung perpecahan. Di mana-mana saja berlakunya krisis. Dari krisis individu yakni krisis jiwa, membawa kepada krisis dalam institusi kekeluargaan, kemudian krisis dalam masyarakat, hinggalah kepada krisis dalam kelompok yang lebih besar di kalangan anggota pertubuhan, persatuan, organisasi, seterusnya krisis di peringkat negara dan antara negara, semuanya adalah akibat dari tidak memiliki jiwa sufi.

Rata-rata umat Islam sudah bernafsu besar, buas dan rakus. Sangat mementingkan diri sendiri serta keluarga. Berlumba-lumba memburu dan membolot apa yang ada, tidak mengira halal dan haram. Tanpa mengira jalan yang hak dan batil. Sanggup menindas dan menzalimi, jatuh menjatuh demi memperolehi sedikit dari kesenangan duniawi. Firman Allah SWT bermaksud:
"Katakan sesunguhnya kebendaan duniawi ini kecil (sedikit) dan akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa."

Para pemimpin menjadi pencetus huru hara demi memenuhi selera kepimpinannya. Pemimpin sudah tidak memikirkan rakyat ramai. Mereka menjadikan jawatan sebagai satu peluang untuk menimba kekayaan dan bukan sebagai amanah. Para ulama menjual agama dengan wang ringgit, pangkat dan kedudukan. Menjaga periuk nasi menjadi keutamaan. Apabila bertembung kepentingan dan habuan duniawi dengan kebenaran yang mereka terpaksa memilih salah satu maka berbohong atau dengan mudah menggadai kebenaran adalah pilihan mereka. Ulama tidak lagi mendidik umat ke arah kenal dan takut kepada Allah SWT kerana mereka sendiri sudah tidak kenal dan tidak takut kepada Allah SWT.

Orang kaya sangat kedekut, genggam tak tiris. Mereka sudah lupa daratan, bermewah-mewah, individualistik serta membazir. Mereka lupa kepada jasa petani dan nelayan, kaum buruh dan pekerja hatta tukang kebun dan pemandunya yang tinggal di gobok buruk di kampung setinggan. Sedangkan banglo yang tersergam gagah itu adalah hasil kerja tangan dan tumpuan keringat para kuli dan tukang. Makanan yang dimakan itu adalah jasa tulang empat kerat petani dan nelayan yang saban hari dilambung gelombang.

Orang miskin pula tidak sabar dan tidak redha lantas iri hati dan hasad dengki. Mereka juga sangat cintakan duniawi malangnya duniawi tidak memihak kepada mereka. Memasang angan-angan yang tidak sepadan dengan kemampuan. Akhirnya turut melupai Allah SWT dan agama juga tergadai.

Akibat bernafsu besar,buas dan rakus ini maka Allah SWT dilupai, tidak kenal dan tidak takut. Apabila hati sudah tidak takut kepada Allah SWT maka agama turut terabai dan terpinggir. Agama bukan lagi menjadi pegangan dan panduan hidup. Akhirat bukan lagi menjadi pilihan dan tempat yang semua orang bakal menemuinya. Hidup menurut apa yang difikirkan umpama lalang ditiup angin.

Apabila agama tidak menjadi pegangan dan panduan maka ideologi yang menjadi pengganti. Ideologi itu pula ada yang sudah tersedia tersusun dan terhimpun sebagai satu fahaman politik. Namun sebenarnya apabila bukan wahyu yang menjadi pegangan dan panduan maka hidup seseorang itu dengan apa yang difikirkannya maka itulah ideologi tanpa nama.

Untuk mengekang nafsu buas dan rakus dan menolak segala ideologi samada berbentuk isma-isma atau ideologi sendiri, sekaligus dapat mempertautkan hati sesama umat Islam tanpa mengira batas sempadan golongan, puak, kedudukan, bangsa, asal usul, keturunan dan negara perlu memiliki jiwa sufi yang di antara ciri-cirinya adalah seperti berikut:

1. Rasa kehambaan.
Berusaha bersungguh dan istiqamah (berterusan) memperolehi atau mencapai rasa kehambaan yang mendalam. Benar-benar mengenali diri itu adalah hamba' yang dicipta oleh Allah SWT. Sewajarnya sampai kepada tahap rasa takut, bimbang, cemas, gementar, malu, mengharap, rindu, rasa dilihat, didengar, diketahui sehingga tidak lekang dari hati. Seiringan dengan itu tidak lekang pula rasa berTuhan yang tinggi, kenal Allah SWT hingga ke peringkat merasai keagungan, kebesaran, kehebatan Allah SWT. Biarpun tidak dapat dicapai dalam tempuh yang singkat namun inilah matlamat hidup manusia yang sebenar. Matlamat ini yang mesti diburu, dikejar dan diusahakan hingga akhir hayat.


* Kredit utk http://cahayamukmin.blogspot.com/