Friday, November 25, 2011

Berjiwa Sufi membendung Perpecahan ( Bahagian 2 )

Berjiwa Sufi Membendung Perpecahan (Bahagian 2)

2. Mengenang Nasib Di Akhirat
"Dunia ini adalah tanaman akhirat".
Ertinya segala amalan, pekerjaan, perlakuan dan gerak geri sepanjang hidup ini hanyalah disifatkan sebagai menanam sahaja. Akhirat merupakan tempat memungut hasil. Apa yang bakal dikutip di akhirat nanti samada pahala atau dosa, samada syurga atau neraka, bergantung kepada apa dan bagaimana kita menanam. Orang yang berjiwa sufi sentiasa takut dan bimbang. Takut dan bimbang tentang nasibnya di akhirat kelak. Takut dan cemas di saat berhadapan Qadhi Rabbul Jalil yang akan menyelongkar setiap apa yang dilakukan sepanjang hidup. Satu apa pun tidak akan tercicir, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi hatta gerak dan lintasan hati sekalipun. Maka perlumbaan di dunia ini, apa yang diburu ketika hidup, kerakusannya ialah terhadap menimba amal sebanyak-banyak dan menolak segala perbuatan mungkar dan keji. Begitupun banyak amalan dan menolak kejahatan, nasib di sisi Allah SWT di akhirat nanti belum tahu. lanya sangat bergantung kepada rahmat Allah SWT. Hanya rahmat Allah SWT itu hampir kepada orang yang beramal.

Apa saja nikmat yang bersifat duniawi tidak lebih hanya sekadar umpama peralatan dalam menanam padi. Alat-alat yang membantu dan memudahkan kerja-kerja menanam padi. Lebih lengkap dan sempurna segala peralatan maka lebih mudah kerja-kerja menanam dan berpeluang mendapat hasil yang lumayan. Itu pun bukan satu jaminan kerana kadang-kadang dirosakkan oleh berbagai-bagai musuh seperti burung dan ulat. Tanpa, disangka-sangka yang menanam dengan peralatan tradisi berjaya mengutip hasil yang banyak kerana dikawal sungguh dari musuh dan penyakit padi.

3. Rasa Berdosa.
Imam As Shafie menghitung dosanya sebanyak biji pasir di Padang Sahara dan dirinyalah orang yang paling banyak dosa. Seorang ahli sufi mengira jumlah dosanya hitung panjang sepuluh dosa setiap hari. Dia hidup selama enam puluh lima tahun. Dikira dosanya bermula pada usia lima belas tahun. Maka jumlah dosanya ialah 10 x 365 x 50 = 182,500. Satu hari di akhirat sama panjangnya dengan seribu tahun mengikut ukuran dunia. Andainya setiap satu dosa itu Allah SWT hukum sehari masuk neraka, maka 182,500 dosa itu di darab dengan seribu lantas ahli sufi itu menjerit, jatuh pengsan dan terus mati.

Alangkah indahnya hidup bermasyarakat apabila setiap orang lebih memikirkan dosa dan kesalahan sendiri. Rasa berdosa itu tidak memberi kesempatan dan tidak ada ruang untuk dirinya memikirkan kejahatan dan cacat cela orang lain. Jauh sekali hendak menyakiti, menindas dan menzalimi orang lain. Malah diganti dengan penuh kasih sayang dan cinta mencintai.

4. Mengutamakan orang lain.
Sekumpulan tentera Islam yang cedera parah dari satu peperangan sedang berbaring untuk menerima layanan dan rawatan. Salah seorang merintih kehausan. Pelayan membawa segelas air. Sebalik saja gelas hampir mencecah mulutnya kedengaran pula seorang lain yang juga merintih kehausan. Ditolaknya gelas tersebut sebagai isyarat untuk diberi kepada orang itu. Begitu juga yang berlaku, ada suara mahukan air lalu ditolaknya untuk diberi kepada orang itu pula. Perkara yang serupa juga terjadi kerana adanya suara kehausan daripada tentera yang baru tiba. Ditolaknya air itu untuk orang baru itu. Tetapi yang baru tiba itu telah meninggal dunia sebelum sempat meneguk air. Lalu pelayan kembali membawa kepada yang pertama, pun telah mati, yang kedua pun menghembuskan nafas terakhir,yang ketiga pun telah meninggal dunia. Segelas air itu tidak sedikit pun membasahi tekak mereka.

Begitulah secebis kisah betapa para sahabat yang berjiwa luhur, di saat nyawa hampir melayang pun masih sempat berbakti dan mengutamakan orang lain. Mereka tidak langsung adanya kepentingan diri. Bukan keselesaan hidup yang tergugat, bukan kesenangan hidup yang tergugat, bukan harta benda yang tergugat, malah di saat nyawa tergugat spun masih meletakkan orang lain lebih utama dan berharga. Orang lain lebih layak diberi peluang untuk menyambung hid up.

5. Menutup aib saudaranya.
Memiliki jiwa sufi bukan sahaja tidak mengorek-ngorek, tidak mengintai dan mengintip, tidak rnencari-cari kesalahan saudaranya, malah kesalahan yang terlanjur pun diusahakan untuk menutupinya. Ini bukan bererti' bersubahat dan menyetujui perbuatan jahat saudaranya itu tetapi tidak dijaja, tidak disebar dan tidak diberitahu kepada orang lain, kecuali kalau terpaksa dengan maksud untuk membaikinya, maka diadukan kepada orang tertentu umpamanya kadhi atau pemimpin.

Kalaupun terpaksa didedahkan, itu pun menurut yang diharuskan oleh syariat seperti untuk pendakwaan atau penghakiman yang sangat terbatas kepada orang-orang tertentu. Bukannya tersebar hingga orang buta dan orang pekak pun turut tahu. Anak-anak kecil yang belum mukallaf pun sudah mengenal kemungkaran orang lain. Kesalahan orang lain yang dipandang berat itu pun andainya berlaku berulang kali dan sangat memberi kesan buruk kepada kepentingan masyarakat. Kesalahan yang sekadar sekali mungkin terlanjur tidak boleh lawan nafsu maka diharapkan yang empunya diri akan sedar dan insaf sendiri dan membaiki kesalahan tersebut tanpa melibatkan orang lain.

6. Pemaaf.
Berjiwa sufi ertinya sangat pemaaf. Dan pemaaf itu salah satu sifat keTuhanan yang wajar menjadi pakaian manusia. Allah SWT itu rahmat dan keampunannya sangat luas. Anggaplah orang yang bersalah itu hanya sekali saja sebaliknya diri kita yang berbuat salah berkali-kali. Hanya mungkin kita berbuat salah tidak kepada orang yang sama.

Umpamanya ada orang meminta maaf kerana mengumpat diri kita. Mungkin itu sekali sahaja. Maka wajarlah segera memberi maaf kerana kita mungkin telah banyak kali mengumpat orang lain cuma bukan ditujukan kepada orang yang sama. Malah bagi para salafussoleh yang jiwa sufinya menebal mereka memaafkan siapa sahaja samada diketahui, dikenali atau tidak, samada meminta maaf atau tidak agar orang lain diampuni oleh Allah SWT. Pihak yang bersalah pula perlulah segera memohon maaf kerana mati tidak mengira masa dan tempat.


* Kredit utk http://cahayamukmin.blogspot.com/