Friday, November 25, 2011

Berjiwa Sufi Membendung Perpecahan ( Bahagian 1 )

Berjiwa Sufi Membendung Perpecahan (Bahagian 1)
Berjiwa sufi merupakan salah satu faktor penting untuk membendung perpecahan. Di mana-mana saja berlakunya krisis. Dari krisis individu yakni krisis jiwa, membawa kepada krisis dalam institusi kekeluargaan, kemudian krisis dalam masyarakat, hinggalah kepada krisis dalam kelompok yang lebih besar di kalangan anggota pertubuhan, persatuan, organisasi, seterusnya krisis di peringkat negara dan antara negara, semuanya adalah akibat dari tidak memiliki jiwa sufi.

Rata-rata umat Islam sudah bernafsu besar, buas dan rakus. Sangat mementingkan diri sendiri serta keluarga. Berlumba-lumba memburu dan membolot apa yang ada, tidak mengira halal dan haram. Tanpa mengira jalan yang hak dan batil. Sanggup menindas dan menzalimi, jatuh menjatuh demi memperolehi sedikit dari kesenangan duniawi. Firman Allah SWT bermaksud:
"Katakan sesunguhnya kebendaan duniawi ini kecil (sedikit) dan akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa."

Para pemimpin menjadi pencetus huru hara demi memenuhi selera kepimpinannya. Pemimpin sudah tidak memikirkan rakyat ramai. Mereka menjadikan jawatan sebagai satu peluang untuk menimba kekayaan dan bukan sebagai amanah. Para ulama menjual agama dengan wang ringgit, pangkat dan kedudukan. Menjaga periuk nasi menjadi keutamaan. Apabila bertembung kepentingan dan habuan duniawi dengan kebenaran yang mereka terpaksa memilih salah satu maka berbohong atau dengan mudah menggadai kebenaran adalah pilihan mereka. Ulama tidak lagi mendidik umat ke arah kenal dan takut kepada Allah SWT kerana mereka sendiri sudah tidak kenal dan tidak takut kepada Allah SWT.

Orang kaya sangat kedekut, genggam tak tiris. Mereka sudah lupa daratan, bermewah-mewah, individualistik serta membazir. Mereka lupa kepada jasa petani dan nelayan, kaum buruh dan pekerja hatta tukang kebun dan pemandunya yang tinggal di gobok buruk di kampung setinggan. Sedangkan banglo yang tersergam gagah itu adalah hasil kerja tangan dan tumpuan keringat para kuli dan tukang. Makanan yang dimakan itu adalah jasa tulang empat kerat petani dan nelayan yang saban hari dilambung gelombang.

Orang miskin pula tidak sabar dan tidak redha lantas iri hati dan hasad dengki. Mereka juga sangat cintakan duniawi malangnya duniawi tidak memihak kepada mereka. Memasang angan-angan yang tidak sepadan dengan kemampuan. Akhirnya turut melupai Allah SWT dan agama juga tergadai.

Akibat bernafsu besar,buas dan rakus ini maka Allah SWT dilupai, tidak kenal dan tidak takut. Apabila hati sudah tidak takut kepada Allah SWT maka agama turut terabai dan terpinggir. Agama bukan lagi menjadi pegangan dan panduan hidup. Akhirat bukan lagi menjadi pilihan dan tempat yang semua orang bakal menemuinya. Hidup menurut apa yang difikirkan umpama lalang ditiup angin.

Apabila agama tidak menjadi pegangan dan panduan maka ideologi yang menjadi pengganti. Ideologi itu pula ada yang sudah tersedia tersusun dan terhimpun sebagai satu fahaman politik. Namun sebenarnya apabila bukan wahyu yang menjadi pegangan dan panduan maka hidup seseorang itu dengan apa yang difikirkannya maka itulah ideologi tanpa nama.

Untuk mengekang nafsu buas dan rakus dan menolak segala ideologi samada berbentuk isma-isma atau ideologi sendiri, sekaligus dapat mempertautkan hati sesama umat Islam tanpa mengira batas sempadan golongan, puak, kedudukan, bangsa, asal usul, keturunan dan negara perlu memiliki jiwa sufi yang di antara ciri-cirinya adalah seperti berikut:

1. Rasa kehambaan.
Berusaha bersungguh dan istiqamah (berterusan) memperolehi atau mencapai rasa kehambaan yang mendalam. Benar-benar mengenali diri itu adalah hamba' yang dicipta oleh Allah SWT. Sewajarnya sampai kepada tahap rasa takut, bimbang, cemas, gementar, malu, mengharap, rindu, rasa dilihat, didengar, diketahui sehingga tidak lekang dari hati. Seiringan dengan itu tidak lekang pula rasa berTuhan yang tinggi, kenal Allah SWT hingga ke peringkat merasai keagungan, kebesaran, kehebatan Allah SWT. Biarpun tidak dapat dicapai dalam tempuh yang singkat namun inilah matlamat hidup manusia yang sebenar. Matlamat ini yang mesti diburu, dikejar dan diusahakan hingga akhir hayat.


* Kredit utk http://cahayamukmin.blogspot.com/